KUALA LUMPUR: Seorang wanita menerima padah apabila ditahan di Pandan Perdana, di sini, awal pagi tadi kerana disyaki mencuri RM8,200 dari akaun bank ibu saudara tirinya untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 14 Pro.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang wanita tempatan, 25 Mac lalu.
“Transaksi (pengeluaran wang) bermula pada 23 Mac secara berperingkat.
“Suspek seorang wanita tempatan ditahan di sebuah premis di Pandan Perdana jam 12.25 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut menemui kad ATM milik mangsa dan merampas telefon pintar dipercayai dibeli menggunakan wang yang dicuri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Kejadian itu didedahkan mangsa menerusi Facebook menyatakan suspek mencuri kad ATM miliknya semasa menumpang tidur di rumahnya.
Dalam hantaran itu, mangsa meluahkan perasaan terkilan apabila layanan baik untuk membantu suspek dibalas dengan cara sedemikian lebih-lebih lagi ia berlaku pada minggu pertama Ramadan.
Katanya, dia terkejut apabila akaunnya hanya berbaki RM500 menyebabkan mangsa tidak mampu membayar semua komitmen bulanan termasuk sewa rumah.