Tumpuan :
Nasional

Wanita Indonesia ditahan miliki MyKad, sijil lahir individu lain

Wanita warga Indonesia berusia 36 tahun ditahan JPN kerana memiliki MyKad butiran palsu dalam serbuan di kediamannya di Kuantan, Pahang. -FOTO: Ihsan JPN

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas disyaki memiliki sijil lahir individu lain dan kad pengenalan butiran palsu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang, semalam.

Wanita berusia 36 tahun terbabit dipercayai menggunakan dokumen peribadi itu bagi menjalankan perniagaannya di daerah berkenaan.

JPN menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu terbongkar hasil serbuan Op Terancang yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa JPN Putrajaya.

Menurutnya, serbuan dengan kerjasama JPN Pahang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaksanakan susulan aduan serta risikan selama dua minggu.

“Hasil pemeriksaan, wanita itu berasal dari Medan, Indonesia memiliki dokumen perjalanan diri yang sah iaitu Pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia dengan mengandungi butiran palsu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dia turut memiliki sijil lahir individu lain. Wanita itu mendakwa membelinya daripada ejen dengan harga RM8,000 bagi digunakan untuk mendapatkan kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPN berkata, wanita terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini