GUA MUSANG: Seorang wanita hamil anak kembar maut selepas kereta dipandu suaminya hilang kawalan dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.35 pagi tadi di Kilometer (km) 43 Jalan Gua Musang-Lojing.
Suami mangsa yang juga anggota tentera tercampak keluar dari kenderaan dan turut maut.
Dua anak pasangan terbabit, usia 9 dan 15 tahun terselamat dan hanya mengalami luka di bahagian kaki dan mulut.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Ridwan Effendy Yusof, 43 dan isterinya, Suhana Khairudin, 37.
Menurut kakak sulung mangsa, Suhaily Khairudin, 49, dia menerima panggilan mengenai kejadian menimpa adiknya itu daripada adik bongsunya hampir jam 10 pagi.
Katanya, sebelum kejadian dia sempat berbual di telefon dengan arwah yang menyatakan keadaannya selepas keluar hospital.
“Sewaktu adik bongsu telefon, dia cakap kak jangan terkejut, adik kemalangan dan meninggal di tempat kejadian bersama suami. Dua anak mereka terselamat,” katanya.
Jelas Suhaily, Suhana adalah adik keempatnya daripada lima beradik.
Menurut Suhaily, arwah bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tunjong, Kota Bharu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, Perak.
Katanya, terdahulu arwah menerima rawatan di hospital Kota Bharu dan dirujuk ke hospital Kuala Lumpur sebelum ke hospital di Ipoh.
Tambah Suhaily, adiknya Suhana sudah mengandung enam bulan.
“Sebelum ini arwah pernah beritahu mak, macam mana kalau dia meninggal semasa bersalin, namun mak cakap Insya-Allah tiada apa-apa dan meninggal semasa bersalin beroleh syahid.”
“Arwah sangat teruja untuk melahirkan anak kembarnya selepas anak bongsu berusia sembilan tahun,” katanya.
Suhaily ditemui bersama keluarga di Unit Forensik, Hospital Gua Musang, di sini bagi menuntut jenazah adik dan iparnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.