Tumpuan :
Nasional

Wanita dituduh pecah amanah wang syarikat lebih RM350,000

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Seorang bekas eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 29 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Tertuduh, M.Vijairani, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Vijairani yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif pentadbiran diamanahkan mengurus harta syarikat terbabit, namun secara curang melakukan pecah amanah wang keseluruhan berjumlah lebih RM350,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Force One Protection (M) Sdn Bhd di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih, Perai pada 20 April 2021 hingga 25 Mei 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam G.Shanmugam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM87,000 serta dua penjamin.

Selain itu, tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Januari depan bagi serahan dokumen.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini