SENTUL: Seorang wanita ditemui maut dengan kesan kelar di lengan dan leher dalam kereta dipandunya di lampu isyarat Jalan Besar Kepong, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan sebuah kereta dipandu mangsa berusia 45 tahun berada di atas pembahagi jalan di lokasi berkenaan pada 10.24 malam.
Menurutnya, mangsa dipercayai mengelar tangan dan lehernya sendiri dan tindakan itu diambil dipercayai disebabkan tekanan akibat penderitaan sakit belakang yang dialaminya.
“Sebelum itu kereta mangsa melanggar sebuah motosikal. Mangsa ditemui meninggal dunia dalam keretanya.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar di lengan serta lehernya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum kejadian itu, mangsa sempat menghantar pesanan supaya tidak bersedih, jaga diri dan turut berterima kasih kepada suaminya melalui WhatsApp pada 9.15 malam.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat yang akan dilakukan 11 pagi ini. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.