KUCHING: Seorang wanita ditemui meninggal dunia dengan jerutan kain di bahagian leher dalam sebuah bilik sewa di sebuah rumah kedai di Jalan Batu Kawa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia 36 tahun itu pada jam 2.16 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat itu.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa iaitu seorang wanita tempatan dijumpai tertiarap di atas tilam di dalam sebuah bilik sewa tingkat satu rumah kedai Jalan Batu Kawa-Kuching.
“Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pekerja di premis itu dan pemeriksaan oleh anggota paramedik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Irwan berkata, pemeriksaan awal mendapati ada jerutan kain di bahagian leher mangsa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh terus menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Sylvarius di talian 013-863 7241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan 082-862 233.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.