IPOH: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci di kawasan parkir berdekatan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.07 petang.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa terkunci di dalam kereta Toyota Camry.
“Anggota bomba bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas dan mangsa yang berusia 20 tahun diberi rawatan awal oleh pegawai kesihatan yang berada di tempat kejadian, namun dia disahkan meninggal.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memaklumkan operasi ditamatkan jam 6.53 petang.
Berdasarkan tinjauan, wanita terbabit ditemukan di kerusi penumpang belakang dalam keadaan berbaring beralaskan bantal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.