
GEORGE TOWN: Seorang wanita tempatan direman empat hari bagi membantu siasatan kes buang bayi lelaki di perhentian bas Jalan Perak, Pulau Tikus di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, wanita yang juga ibu bayi berusia 20 tahun itu berada dalam pemantauan di Hospital Pulau Pinang sehingga 20 Februari.
“Suspek dan bayi lelaki berkenaan kini ditempatkan di wad di HPP bagi rawatan dan kedua-duanya dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan mengenai penemuan bayi yang diletakkan dalam beg kertas dan ditinggalkan di atas tempat duduk perhentian bas berkenaan.
Bayi malang itu ditemukan orang awam dan disyaki ditinggalkan pada 8.03 pagi, sebelum polis memberkas suspek pada 2.20 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.