comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita dilapor hilang ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher

KUANTAN: Suri rumah berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang semalam, ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher di bilik tidur di kediamannya di Indera Mahkota, di sini.

Mangsa yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya di rumah itu, jam 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, bapa mangsa yang berusia 62 tahun membuat laporan kehilangan anak perempuannya itu, pada jam 3.25 petang hari kejadian.

“Bapa mangsa memaklumkan kali terakhir dapat menghubungi anaknya itu melalui pesanan WhatsApp pada jam 8.30 pagi hari kejadian.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 7.30 malam, bapa wanita itu dihubungi menantunya memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri dalam bilik tidur di rumah dengan kesan jerutan pada leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati wanita berkenaan adalah isteri kepada warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengesahkan empat ahli keluarga wanita terbabit yang berusia antara 27 hingga 62 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini