Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas motosikal ditunggangnya ditemukan di Sungai Mati dekat Alor Binjai, di sini, pagi tadi.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan, namun mangsa masih belum ditemui setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Wan Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 pagi.
Jentera pertama dari BBP Jalan Raja dengan 5 anggota tiba di lokasi pada jam 10.22 pagi.
“Panggilan kecemasan memaklumkan terdapat mangsa dikhuatiri lemas akibat terbabas ke dalam sungai.
“Mangsa wanita berusia 30-an dipercayai terjatuh ke dalam sungai berikutan penemuan motosikal mangsa di kawasan sungai.
“Mangsa dikhuatiri lemas dan dihanyutkan arus sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Pasukan Pencarian Di Air (PPDA) dari BBP Jitra turut digerakkan untuk menyertai operasi carilamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.