GUA MUSANG: Wanita yang nyaris maut dirempuh balak yang terjatuh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini, semalam, kini ditidurkan sebelum menjalani pembedahan.
Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan dalam pemantauan rapi selepas patah bahagian tulang punggung dan tulang rusuk akibat dirempuh kayu balak.
Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan teruk di bahagian hati, limpa, hempedu dan usus.
Abang mangsa, Mohamad Azwa, 28, berkata, adiknya ditidurkan pada petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Katanya, adiknya dihantar ke HRPZ petang semalam untuk rawatan lanjut dan dalam pengawasan rapi doktor.
“Doktor memaklumkan akan buat pembedahan untuk tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.
“Sekarang ini doktor tengah merawat bahagian usus dan kemungkinan akan ada masalah juga. Buat masa sekarang ini semangat adik saya sangat kuat apabila dia tengah lawan sakitnya.
“Walaupun ditidurkan tetapi dia memberi tindak balas positif pada bahagian kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, ketika melihat video kemalangan yang tular dia tidak menyangka mangsa kejadian adalah adiknya sendiri.
“Semoga ada keajaiban supaya adik akan sembuh kembali dan kami sekeluarga mengharapkan doa orang ramai.
“Mengikut perancangan adik akan melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya pada Disember ini,” katanya.
Sementara itu, tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berharap supaya orang ramai menghentikan dakwaan palsu berkaitan kejadian dan keadaan tunangnya.
“Di media sosial pelbagai dakwaan dibuat terhadap tunang saya, ada yang kata dia sudah meninggal dan yang paling teruk tuduhan Siti Norelyana mengandung.
“Semua dakwaan itu tidak benar dan saya berharap individu yang bertanggungjawab dapat memadamkan semua ‘posting’ mereka di media sosial.
“Kami mengharapkan doa rakyat Malaysia supaya tunang saya akan sembuh seperti biasa,” katanya berada di HRPZ II.
Semalam media melaporkan seorang wanita cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, penyambung atau cakera putar (turn table) pada lori yang patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum merempuh seorang penunggang motosikal wanita.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa