Tumpuan :
Nasional

Wanita dihanyut arus deras akibat kepala air di Sungai Sedim

Lokasi wanita yang dihanyutkan arus deras akibat kepala air yang berlaku di Sungai Sedim.- FOTO: JBPM

KULIM: Seorang wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.02 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Fuad Harun bersama lima anggota dan dua anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

“Mangsa A Kasthuri, 41, dipercayai dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas akibat kepala air.

“Melalui laporan komander operasi, mangsa bersama keluarga sedang berkelah dan riadah sempena cuti Deepavali. Secara tiba-tiba muncul kepala air dan mangsa tidak sempat selamatkan diri.

“Tindakan operasi adalah melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, ini adalah kejadian kedua yang berlaku dalam tempoh kurang dari sebulan membabitkan kejadian arus deras akibat kepala air di Sungai Sedim.

Dalam kejadian 13 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang sedang mandi bersama beberapa rakannya dihanyutkan air deras sebelum ditemui lemas kira-kira dua hari kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini