Tumpuan :
Nasional

Wanita didakwa pandu melulu, rempuh kereta lain

Pengurus bank, Teoh Mung Ni, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu kereta secara melulu di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, Oktober lalu. – Foto: NSTP

GEORGE TOWN : Seorang pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memandu melulu dan melawan arus sehingga merempuh kereta lain di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, 2 Oktober lalu.

Teoh Mung Ni, 41, didakwa memandu kereta BMW 5 Series dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai sehingga menyebabkan kemalangan dengan kereta Perodua Bezza.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 12.30 tengah malam pada 2 Oktober lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara  maksimum lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.

Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Januari depan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini