comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita dakwa suara imam ganggu kejiranan

GEORGE TOWN: “Memang insiden itu berlaku di masjid ini beberapa hari lalu, namun saya harap orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri.”

“Laporan polis sudah dibuat dan waris wanita itu juga sudah menghubungi saya, jadi semua tindakan kami serah kepada polis,” kata Pengerusi Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi Ismail Din.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita yang masuk ke ruang solat lelaki Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi di George Town dan mendakwa suara imam mengganggu kejiranan.

Ismail berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa video yang tular di laman sosial, memaparkan seorang wanita yang masuk ke ruang solat lelaki dan bertanyakan soalan kurang sopan.

Menerusi hantaran tular, wanita terbabit dikatakan bertanya “Siapakah bilal dan imam yang sedang menyalak seperti anjing, membaca selawat dan bacaan Al-Quran itu? Bacaannya seperti syaitan bersuara sumbang, menyalak seperti anjing gila”.

Menurut Ismail, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada 12 Mac lalu itu, wanita berkenaan dengan berpakaian tidak menutup aurat, terdahulu bertanya kepada seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kebanyakan jemaah sedang di penghujung solat sunat witir.

“Pada mulanya saya tidak mahu panjangkan hal berkenaan namun apabila insiden itu tular di media sosial, pihak pengurusan masjid terpaksa membuat laporan polis bagi mengelak kejadian yang sama berulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ismail berkata ia adalah kali ketiga wanita berkenaan meluahkan rasa tidak puas hatinya yang mana dua sebelum ini dilakukan menerusi kiriman surat kepada siak masjid.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita yang masuk ke ruang solat lelaki Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi di George Town dan mendakwa suara imam mengganggu kejiranan.

​Katanya, wanita terbabit mendakwa laungan azan Subuh di masjid itu mengganggu jiran yang sedang tidur.

Ketika itu tiada laporan polis dibuat dan pihak masjid telah pun memastikan penggunaan pembesar suara tidak mengganggu kejiranan.

“Namun ketika hari kejadian, kami dapati wanita terbabit seakan-akan mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental dan kerana itulah laporan polis tidak dibuat sehinggalah ia tular di media sosial, barulah laporan polis dibuat,” katanya lagi.

Menurut Ismail, dia juga turut dihubungi kakak kepada wanita itu yang mendakwa adiknya memang mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental selepas pulang dari luar negara.

“Wanita itu mendakwa adiknya sebelum ini seorang yang taat kepada agama dan sering menaja individu bagi menunaikan umrah.

Dia kemudian menetap di London sebelum mengalami gangguan kesihatan mental sebaik pulang ke tanah air.

Menurut Ismail, pihaknya merancang mengadakan majlis pertemuan supaya mereka boleh membuat permohonan maaf serta merapatkan kembali ukhwah kedua-dua pihak.

“Kami faham dia ‘sakit’ dan tidak mahu ia berlarutan, cuma biar sahaja pihak berkuasa jalankan tindakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini