![](https://media.buletintv3.my/2022/10/GEN-POLIS-JENAYAH-LOGO-PDRM-GARI-2-1024x538.jpg)
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga China direman dua hari selepas ditahan kerana cuba melarikan kenderaannya yang ditunda di depoh tunda kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita berusia 45 tahun itu ditahan di hadapan kediamannya di Taman Melawati, pada jam 7.45 malam, pada hari kejadian.
Terdahulu, Mohd Azam berkata, polis menerima aduan kakitangan MPAJ yang bertugas di depoh terbabit berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu.
“Pengadu memaklumkan seorang wanita disyaki pemilik kenderaan telah mengambil kereta jenis Perodua Axia yang ditunda ke situ tanpa membuat pembayaran denda yang dikenakan MPAJ.
“Pengadu cuba mengejar kereta tersebut tetapi tidak berjaya, berikutan itu pengadu merujuk perkara berkenaan kepada pihak MPAJ dan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati tujuan suspek masuk ke depoh adalah mengambil keretanya yang ditunda oleh MPAJ kerana menghalang lalu lintas.
“Susulan tangkapan itu, kita turut merampas sebuah Perodua Axia bersama sebatang anak kunci.
“Semakan mendapati suspek yang berkahwin dengan seorang lelaki warga tempatan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Mohd Azam berkata, suspek dibenarkan untuk direman selama dua hari bermula kelmarin untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu ceroboh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.