Tumpuan :
Nasional

Wanita cedera ditikam anak saudara berusia 14 tahun

SEBERANG PERAI: Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 an mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya yang berusia 14 tahun dalam satu kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada sekitar jam 11.30 pagi.

Siasatan awal mendapati mangsa adalah ibu saudara kepada suspek yang tinggal bersama mangsa sejak empat hari lalu akibat masalah keluarga.

“Kejadian itu berlaku ketika mangsa dan suspek terlibat dalam pertengkaran mulut di ruang tamu rumah mereka.

“Pertengkaran tercetus apabila suspek ingin kembali tinggal bersama ibu kandungnya, namun hasrat tersebut dihalang oleh mangsa.

“Ketika suasana menjadi tegang, suspek secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, suspek telah ditahan di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan sebarang masalah keluarga dengan cara yang lebih bijaksana dan mendapatkan bantuan yang diperlukan, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini