comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita cedera dihempap pokok tumbang

Foto ihsan JBPM

IPOH: Seorang wanita mengalami kecederaan di kepala akibat dihempap dahan pokok yang tumbang ketika berada di bawah gazebo (pondok kecil) dalam kejadian di Rimba Segari, Pantai Remis, kira-kira 87 kilometer (km) dari sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan pada 8.24 malam dan mendapati pokok tersebut turut menghempap sebuah kenderaan milik keluarga mangsa.

“Mangsa telah dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan. Anggota bomba kemudian membuat kerja-kerja pemotongan dahan pokok yang menghalang laluan kenderaan di kawasan itu ,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Pantai Remis, Muhammad Hanafi Mohamed Rasidi berkata, mangsa datang beriadah di kawasan berkenaan bersama keluarga dan dikatakan sedang memasak di bawah gazebo itu.

“Ketika itu keadaan angin agak kencang menyebabkan pokok berhampiran tumbang dan menghempap gazebo dan kenderaan mereka,” katanya. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini