KUALA SELANGOR: Wanita yang ditahan susulan kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun di Puncak Alam, di sini, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Kita akan bawa suspek (wanita) untuk dituduh esok,” katanya ringkas, hari ini.
Pada 4 Mei lalu, media melaporkan suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
Ramli dilaporkan berkata, suspek berusia 33 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.
Dua hari kemudian, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit menyebarkan video adegan itu.
Suspek lelaki yang menetap di Bandar Sri Damansara itu memiliki dua rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan rogol selain telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.