Tumpuan :
Gaya Hidup

Wanita alami stres cenderung makan banyak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Wanita lebih cenderung mengalami tekanan berbanding lelaki, berikutan tugasan rutin di rumah dan di tempat kerja hingga menyebabkan sebahagian mereka menjadikan makan sebagai antara cara mengurangkan tekanan itu.

Golongan itu digelar sebagai ‘emotional eaters’ di mana dalam keadaan tertekan, mereka akan mengambil makanan dalam jumlah besar, selain pengambilan makanan tidak seimbang seperti snek, manisan tinggi kandungan lemak, gula dan garam.

Pengambilan makanan tidak seimbang seperti kurang serat dan vitamin boleh didapati daripada sayur-sayuran dan buah-buahan menyebabkan defisit kepada nutrisi yang penting seperti vitamin dan mineral untuk mengekalkan berat badan ideal.

Pensyarah Kanan Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, Dr Tengku Norbaya Tengku Azhar, berkata pola pemakanan sebegini dalam jangka panjang dan menjadi tabiat makan yang tidak sihat hingga menyebabkan wanita sukar menurunkan berat badan.

Katanya, wanita juga menghadapi pelbagai fasa perubahan penting dalam kehidupan harian mereka.

“Ketika mengandung, menyusukan bayi pola pemakanan wanita selalunya berubah mengikut fisiologi dan keperluan badan.

“Sebagai contoh, pertambahan 500 kalori di dalam diet seharian ibu ketika mengandung dan menyusu penting untuk penghasilan susu yang berkualiti dan mencukupi selain memastikan kesihatan ibu berada dalam keadaan yang baik.

“Bagaimanapun, bukan semua wanita beradaptasi dengan baik dalam fasa ini. Sebahagian mereka mendapat obesiti dan berlebihan berat badan dan sukar menurunkannya semula ke berat badan yang ideal.

“Ada sebahagiannya pula berusaha mengambil pelbagai suplemen kurus di pasaran sebagai jalan singkat untuk menguruskan berat badan,” katanya.

Selain itu, kesibukan wanita hari ini tidak kira yang bekerja atau suri rumah menyebabkan mereka gagal mendapat tidur dan rehat yang cukup.

Katanya, kecenderungan untuk mendapat masalah berat badan lebih tinggi dalam kalangan mereka tidak mendapat tidur mencukupi.

Wanita juga tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti riadah di luar atas kekangan masa.

“Bagi wanita berkerjaya keluar seawal 6 pagi setiap hari dan kembali hanya ketika senja sudah pastinya tiada peluang untuk beriadah.

“Ini disokong oleh dapatan kajian dari Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS) (2022), iaitu empat daripada lima orang dewasa tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal yang aktif seperti bersenam dan bersukan,” katanya.

Dr Tengku Norbaya berkata, semua orang terutama wanita perlu mempunyai kesedaran mengenai betapa pentingnya aspek pengawalan berat badan dalam kehidupan seharian.

“Kita makan berdasarkan diet seharian. Bukan mudah menjadi konsisten dan bermotivasi dalam usaha menurunkan berat badan, namun berbaloi diusahakan kerana berat badan ideal menjamin kesihatan yang baik.

Apa yang penting, wanita perlu optimis kerana kita percaya ramai dalam kalangan mereka memang mementingkan berat badan masing-masing demi kelihatan menarik dan cantik, justeru mereka mampu melakukannya dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini