comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita alami keguguran dalam nahas 3  kenderaan

Foto ihsan awam

JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengandung enam bulan mengalami keguguran selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di KM36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, malam semalam.

Kejadian pada jam 11 malam itu berlaku ketika mangsa Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, yang juga kakitangan Media Prima Berhad (MPB) di bahagian pengiklanan Bandar Baru Uda, Johor Bahru bersama suami, Abdul Rahman Oyub, 40, dan dua anak lelaki dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, isterinya yang memandu Honda BRV tidak dapat mengelak sebuah lori Hino yang terbabas memasuki laluan mereka.

“Kejadian berlaku sekelip mata apabila lori yang hilang kawalan memasuki laluan kami sehingga isteri tidak sempat mengelak.

“Kemalangan menyebabkan isteri yang mengandung enam bulan keguguran dan masih tidak sedarkan diri serta dalam keadaan kritikal.

“Isteri menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) manakala dua anak lelaki di Hospital Kulai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee dalam kenyataan berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Hino dan dua kereta iaitu Honda BRV dan Honda Accord.

Menurutnya, seramai enam mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, wajah dan badan.

“Sebuah lori dari arah utara hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di tengah jalan lalu masuk ke arah bertentangan.

“Kereta Honda BRV dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan lori.

“Sementara, kereta Honda Accord dari arah utara gagal mengelak dan terus merempuh lori.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini