comscore
Tumpuan :
Nasional

Wang lebih RM2 juta dicuri dari bank dipindahkan ke 11 akaun – Polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR: Seorang kerani sebuah bank di Kuala Kuala Kangsar, Perak sempat memindahkan wang lebih RM2 juta yang dicuri ke dalam 11 akaun berbeza sebelum ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wang terbabit dikeluarkan daripada tiga akaun simpanan tetap melibatkan 108 transaksi sejak 14 Feb 2023 hingga 24 Jun 2024.

“Siasatan sedang dijalankan kerana kita dapati kebanyakan wang telah digunakan, selain dipindahkan ke akaun milik saudara-mara, kenalannya serta syarikat.

“Seorang mangsa yang merupakan pendeposit berusia 69 tahun menyedari wangnya dikeluarkan pada 5 Julai sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak bank,” katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.

Ramli memaklumkan siasatan berhubung kes itu tetap diteruskan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan walaupun suspek telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan perlu disudahkan, jadi kita masih teruskan siasatan ini termasuk mereka (pemilik 11 akaun) yang menerima wang terbabit,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melibatkan nilai kerugian melebihi RM2 juta dikesan berlaku pada 9 Julai lepas.

Kegiatan kerani itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan hadir ke bank terlibat untuk membuat pengeluaran wang pada 27 Jun.

Bagaimanapun, pendeposit berkenaan mendapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan mereka sudah ditutup dan menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang daripada akaun masing-masing.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini