KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditarik balik.
Keputusan menarik usul itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula di dewan memohon maaf atas kenyataan ada minggu lalu yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.
Pemimpin BERSATU itu yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Ahmad Zahid, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.
“Ini bermaksud Yang Berhormat (Bukit Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada agong.
“Untuk itu, saya terima dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) ‘move’ ke depan.
“Kita bincang masalah rakyat dengan tertib dan aman, akhirnya memberi natijah lebih baik. Jadi, kita tutup kes ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat.
Terdahulu, ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang bangun mencelah menghargai keputusan penarikan usul itu oleh kerajaan.
“Saya ambil kesempatan ini dengan ucapan terima kasih kepada Tan Sri speaker atas tindakan yang bijaksana dan menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin. Rakyat nampak Ahli Parlimen ini bertanggungjawab,” katanya.
Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu, Wan Saiful mendakwa Anwar sudah menyalahgunakan kuasanya.
Kenyataan Wan Saiful itu sudah mencetuskan kekecohan dalam dewan ketika ini, sehingga memaksa pemimpin BERSATU itu menarik balik kenyataannya atas arahan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.