Tumpuan :
Nasional

Wan Saiful fail notis, afidavit ketepi dua tuduhan rasuah

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongan untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah dihadapinya atas alasan ia cacat.

Datuk Wan Saiful Wan Jan juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan atau perintah lanjut difikirkan wajar dan manfaat.

Peguam bela Wan Saiful, Amer Hamzah Arshad, berkata pihaknya membangkitkan bantahan awal terhadap pertuduhan dihadapi anak guam menerusi notis berkenaan.

FOTO: NSTP

“Notis itu disokong dengan afidavit sokongan, yang mana kedua-duanya sudah diserahkan kepada pendakwaan.

“Notis difailkan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.Notis itu difailkan di Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company, kelmarin.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali, mengesahkan sudah menerima salinan notis itu menerusi e-mel pada hari sama ia difailkan.

“Kami perlu menjawab afidavit itu. Kebiasaannya kami memerlukan 14 hari untuk menjawabnya. Paling awal tujuh hari dan paling lambat 10 hari boleh jawab afidavit, sebelum atau pada 9 Jun,” katanya.

Hakim menetapkan 27 Jun depan untuk mendengar notis permohonan dikemukakan wakil rakyat berkenaan.

“Pendakwaan perlu menjawab afidavit sokongan pada atau sebelum 9 Jun.”Empat hari selepas itu, pihak pembelaan boleh jawab kembali pendakwaan kalau ada,” katanya.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Loading...
Terkini