KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke 19, menggantikan Tan Sri Rais Yatim bermula hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), itu, adalah calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan berkenaan.
Usul pencalonan beliau dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Terdahulu, Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, turut dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.
Turut dicalonkan bagi jawatan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau.
Razali bagaimanapun tewas selepas mendapat hanya 11 undi.