Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki Wan Ahmad Dahlan, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM).
Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 29 tahun dan menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam.