Tumpuan :
Nasional

Waktu operasi pejabat pengeluar pasport dilanjutkan sempena cuti sekolah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sempena cuti sekolah, waktu pengoperasian perkhidmatan kaunter di kesemua pejabat pengeluar pasport Jabatan Imigresen (JIM) di seluruh negara akan dilanjutkan bermula 21 hingga 28 Disember 2024.

Menerusi hantaran di Facebook, JIM memaklumkan, pelanjutan waktu operasi itu selepas mengambil kira permintaan pelanggan.

“Kami berharap dengan pelanjutan waktu operasi ini akan dapat membantu melancarkan urusan anda,” katanya.

Dalam poster yang dimuat naik pada hantaran sama, semua negeri kecuali Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, pejabat pengeluar pasport akan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam bermula Isnin depan (23 Disember) hingga Jumaat (26 Disember).

Waktu rehat pula selama sejam dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

Pada Jumaat (27 Disember) serta Sabtu (21 dan 28 Disember), pejabat akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 3 petang manakala waktu rehat tengah hari turut dibuka kecuali Jumaat yang ditutup sementara bermula 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

Bagi Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, waktu operasi dilanjutkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam pada Ahad sehingga Selasa (22 hingga 24 Disember) manakala pada Khamis (26 Disember), pejabat akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang, dengan waktu rehat selama sejam bermula jam 1 tengah hari.

Operasi pejabat di empat negeri berkenaan pada Sabtu (21 dan 28 Disember) akan bermula 8 pagi hingga 3 petang termasuk turut beroperasi pada waktu rehat kerana pegawai JIM akan berehat secara bergilir-gilir.

Kesemua pejabat pengeluar pasport akan ditutup pada 25 Disember (Rabu) sempena cuti Hari Natal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini