Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wakil komuniti Islam Laos kagum keprihatinan PM, Malaysia

 

Oleh: Ridhuan Hussain

VIENTIANE: Keprihatinan Malaysia terhadap hal ehwal Islam serta ummah nyata tidak terhad kepada rakyatnya semata-mata namun turut meliputi kebajikan serta nasib masyarakat Islam di peringkat global termasuk di Laos.

Ia jelas dapat dilihat melalui usaha dan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menunggu lama untuk mendekati komuniti Islam Laos sebaik tiba di negara itu.

Keazaman mendengar isu komuniti Islam di peringkat antarabangsa itu terserlah dengan kesungguhan Datuk Seri Anwar bertemu pemimpin-pemimpin Islam Laos di Vientiane hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud.

Dalam pertemuan itu, pelbagai isu ummah dibangkitkan dan dibincangkan kedua-dua pihak terutamanya yang dihadapi umat Islam di negara itu serta di seluruh dunia.

Bagi antara wakil yang terlibat, Zakir Malimar, kesempatan bertemu Datuk Seri Anwar itu digunakan sepenuhnya dan menyifatkan sesi itu cukup bermanfaat.

“Kami meminta agar penterjemahan Al-Quran diberikan keutamaan yang perlu dilaksanakan selain pembangunan sekolah bagi kanak-kanak untuk mempelajari Bahasa Inggeris. Kami juga mampu menghantar lebih ramai muslim tempatan untuk melanjutkan pengajian ke Malaysia dan ini adalah sangat penting bagi kami.” katanya.

Malah bagi Azizullah Khan Thamahaksa, mereka turut terharu melihat keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib ummah terutama di Laos.

“Beliau (Datuk Seri Anwar) mahu membantu sebelum kami menyatakan hasrat kami dan beliau sangat mementingkan hal-hal berkaitan agama dan kepentingan Islam di Laos. Dia turut menyatakan komitmen untuk membantu komuniti Islam di Laos dengan pemberian biasiswa menerusi Kedutaan Malaysia.” ujarnya.

Justeru, mereka turut berharap akan terdapat perkembangan positif hasil pertemuan itu dalam tempoh dua minggu lagi.

Loading...
Terkini