Tumpuan :
Nasional

Wajarkah tindakan sita untuk ‘perompak’ kemudahan OKU?

Foto hiasan

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), mereka juga berhak menikmati kemudahan dan akses yang disediakan kerajaan.

Namun sikap segelintir masyarakat yang kurang prihatin dan bersikap tidak endah, ‘merompak’ fasiliti yang disediakan untuk golongan khas ini membuatkan OKU sentiasa rasa terpinggir.

Dalam memperkasa OKU, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan kemudahan untuk golongan ini dapat diakses dan dimanfaatkan oleh mereka.

Selain masyarakat awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus sentiasa peka terhadap keselamatan golongan kurang upaya di tempat awam.

Tindakan segera perlu diambil sekiranya mendapati ada kerosakan atau halangan fizikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya OKU.

Sekiranya kereta-kereta sadai yang diletakkan di bahu-bahu jalan boleh disita kerana menghalang dan menganggu lalu lintas, tindakan sama dilihat wajar dikenakan ke atas apa-apa objek yang menghalang laluan ‘tactile’ OKU.

Ini kerana meletakkan motosikal serta mendirikan kedai di sepanjang laluan ‘tactile’ yang disediakan khusus untuk golongan OKU penglihatan seorah-olah menjadi satu trend.

Mereka tidak menghiraukan serta memikirkan kepentingan laluan itu untuk OKU, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri dengan alasan untuk mendapatkan tempat yang lebih redup.

Mengikut rekod Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dari Januari hingga April lalu, sebanyak 13,872 notis kesalahan mengikut Kaedah 44, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan 1,195 notis kesalahan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan serta gerai yang membuat halangan di atas siar kaki awam.

Manakala sejumlah 12 siri Tindakan Khas Lalu Lintas dan enam siri Tindakan Khas Angkut Motosikal terhadap motosikal yang diletakkan secara menghalang di atas laluan pejalan kaki serta kawasan awam sekitar Kuala Lumpur sudah dilaksanakan.

Prof. Madya Ts. Dr Roslinda Alias
Pengarah
Unit Perkhidmatan OKU UiTM

Bagaimanapun Pengarah Unit Perkhidmatan OKU (UPO) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Ts. Dr. Roslinda Alias berpendapat tindakan menyita ini hanya wajar dilakukan selepas advokasi.

Beliau melihat tindakan yang paling utama adalah untuk memberi kesedaran dan pengetahuan berkaitan isu laluan ‘tactile’ ini; apakah fungsi dan peranan kemudahan ini kepada OKU.

“Pengetahuan masyarakat terhadap isu laluan ‘tactile’ ini, ramai sebenarnya tidak cakna fungsi dan peranan laluan ini kepada warga OKU penglihatan, kalau kita buat tindakan penguatkuasaan, kita sita atau bagi denda sebagai contoh, tetapi tanpa memahami mengapa tindakan itu diambil, tidak ada guna juga sebenarnya.”

“Apabila penguatkuasaan dilakukan tanpa memahami kesalahan yang dilakukan, mereka mungkin sekadar mematuhi peraturan itu hanya ketika penguatkuasaan atau secara berkala dan tidak diimplementasi dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Buletin TV3.

Isu halangan terhadap laluan ‘tactile’ ini hangat diperkatakan sejak minggu lalu apabila  seorang warganet memuatnaik rakaman seorang lelaki OKU penglihatan terpaksa mengalihkan sendiri motosikal yang diparkir di laluan itu.

Pemilik video berkenaan meminta orang ramai supaya lebih cakna dengan keadaan OKU dan tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan kemudahan yang disediakan untuk golongan terbabit.

Loading...
Terkini