
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Berita Harian (BH) menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada seorang ibu tunggal yang menghidap kanser paru-paru tahap empat sambil menjaga anak orang kurang upaya (OKU).
Sumbangan menerusi program #BHNakTanya – Wadah Satu Hati itu adalah antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) BH dengan kerjasama Mitraland bagi memberi sokongan kepada individu yang menghadapi pelbagai cabaran hidup.
Rosnah Walad, 60, disahkan menghidap kanser sejak Jun lalu dan menguruskan anak bongsunya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 29, yang terlantar sejak lahir.
Menurut Rosnah, beliau tidak pernah lelah menguruskan anaknya, namun bimbang dengan nasib anak istimewanya itu sekiranya dirinya pergi terlebih dahulu.
“Saya sering takut untuk tidur pada waktu malam kerana bimbang jika saya tidur, saya akan terjaga di tempat lain. Namun, apabila membuka mata dan melihat dia masih berada di depan saya, saya merasa lega dan bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk melihatnya lagi.
“Sepanjang dalam kandungan, doktor maklumkan dia berada dalam keadaan baik, namun pada hari kelahiran, dia lemas dalam kandungan.
“Ketika lahir, badannya sihat dan berisi, namun segalanya berubah ketika memasuki bulan kesepuluh. Dia tidak boleh duduk dan sering terjatuh. Ketika menginjak usia tiga tahun, badannya semakin kurus dan hanya terbaring sahaja,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan program #BHNakTanya – Wadah Satu Hati di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil, bersama Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Selain itu, Nabil Najmi turut mengalami komplikasi usus dan telah menjalani tiga pembedahan sejak 2019.
Sejak tiga bulan lalu, dia perlu menjalani rawatan dengan mengambil ubat yang menelan kos tinggi, mencecah RM3,000 sebulan.
Sementara itu, Zulkifli berkata, kunjungan kali ini adalah yang keempat daripada sepuluh keluarga yang akan diziarahi sepanjang Ramadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.