comscore
Tumpuan :
Nasional

Wabak Batuk Kokol: 1 kes kematian direkodkan di Sabah

 

Tular satu video berdurasi kira-kira 1 minit memaparkan seorang petugas dari Pejabat Kesihatan daerah Putatan membuat pengumuman pengisytiharan wabak batuk kokol telah merebak di Kampung Ketiau, Putatan.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Satu kes kematian direkodkan di Sabah dipercayai membabitkan kes Pertussis atau wabak batuk kokol.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata setakat Januari tahun ini hingga semalam, wabak batuk kokol di Sabah merekodkan 76 kes dan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu 20 kes.

Kementerian Kesihatan walaubagaimanapun tidak memperincikan kes kematian itu sama ada melibatkan kanak-kanak atau tidak, dari daerah mana kes kematian itu dicatatkan serta ada kaitan atau tidak dengan fenomena cuaca panas dan strok haba ketika ini.

“Menunjukkan peningkatan kes sebanyak peningkatan kes sebanyak 986% berbanding Minggu Epidemiologi yang sama pada tahun lepas iaitu ada 7 kes.

“Daripada ini semua kita hanya berdepan 1 kes kematian atau fatality lah jadi ada beberapa daerah kita kenal pasti,” katanya.

Selain Kota Kinabalu, daerah Lahad Datu mencatatkan 16 kes diikuti Tawau (15 kes); Putatan (8 kes); Semporna dan Papar (4 kes); Kunak dan Tambunan (3 kes); seterusnya Kinabatangan,Tuaran, dan Sandakan masing-masing 1 kes.

Warga tempatan mencatatkan 41 kes, Filipina (27 kes); dan Indonesia (8 kes).

Daripada angka itu jelas Dr Zaliha pihaknya kini terus memantau situasi wabak batuk kokol bagi memastikan ia tidak menular.

Ditanya mengenai rekod wabak batuk kokol di negeri lain ujar Dr. Zaliha pihaknya akan meneliti statistik itu di seluruh negara.

“Setakat ini negeri lain kita ada juga menerima laporan tentang kes itu di negeri lain tapi saya akan teliti lagi kes ini di mana saya cuba dapatkan laporan tersebut,

“Ramai jugalah yang terlibat dalam kes ini jadi seperti yang kita maklum kes ini bila sampai kepada kita rawatlah sudah pasti kita ada pemantauan seterusnya,

“Kalau ada anak-anak mempunyai gejala batuk seperti itu tolong lah hantar ke hospital adakah itu kes yang perlu rawatan lebih lanjut atau sebagai batuk biasa kalau perlu rawatan yang seterusnya kalau perlu rawat di hospital.” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Negeri Sabah di Auditorium, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

Dr Zaliha mengulas demikian apabila ditanya media berhubung satu video tular berdurasi kira-kira 1 minit memaparkan seorang petugas dari Pejabat Kesihatan daerah Putatan membuat pengumuman pengisytiharan wabak batuk kokol telah merebak di Kampung Ketiau, Putatan.

Dalam video itu juga petugas berkenaan meminta penduduk di sekitar kawasan itu untuk cakna dengan wabak batuk kokol terutama melibatkan kanak-kanak di bawah umur 1 tahun

“Penyakit ini sangat merbahaya jika menjangkiti bayi dan kanak-kanak di bawah umur 1 tahun, pastikan kanak-kanak di dalam komuniti telah mendapat pelalian yang telah lengkap bagi yang belum lengkap boleh hadir ke klinik kesihatan Putatan pada 28 April bersamaan hari Jumaat 8.30 pagi hingga 2.30 petang secara percuma,” kata petugas kesihatan di dalam video tular terbabit.

Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis.

Kuman disebarkan melalui udara ketika pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak serta ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia.

Bagaimanapun, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Lazimnya mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu atau boleh berlarutan sehingga dua bulan.

Loading...
Terkini