JOHOR BAHRU: Kira-kira 200 orang mengiringi majlis pengebumian vokalis kumpulan rock Zabarjad, Ab Malek Mohd Amil @ Mohd Amir, 56, hari ini.
Anaknya, Muhammad Azmi Syahmi, 34, berkata arwah bapanya dikebumikan di Taman Perkuburan Bukit Alif, Johor Bahru pada jam 11 pagi.
Menurutnya, selain ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan, pengebumian bapanya juga dihadiri beberapa rakan artis tanahair.
“Kami berterima kasih kepada semua yang tampil memberi sokongan moral kepada keluarga kami yang pilu dengan kehilangan insan kesayangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia Negeri Melaka dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi Karyawan Malaysia, Datuk Zainal Abu Bakar berkata, dia hadir ke majlis pengebumian bersama AJK Karyawan Malaysia Negeri Melaka, Mohd Rizal Zakaria dan Nor Azniza Che Zainudin.
Menurutnya, pihaknya juga menyampaikan sumbangan karyawan kepada anak sulung arwah, Muhammad Azmi Syahmi.
“Saya mengenali arwah sejak 10 tahun lalu dan ketika pertama kali menemuinya, dia mengurus Mamat Exist di sebuah konsert di Melaka.
“Ketika itu dia sendiri memperkenalkan diri dan saya tertarik dengan sikap rendah dirinya.
“Malah selepas itu kami pernah sailing berhubung dan pada November lalu, saya bercadang untuk melawatnya selepas mendapat khabar dia kurang sihat.
“Bagaimanapun hasrat saya tidak kesampaian, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarganya.
“Ketiadaannya suatu kehilangan kepada industri seni tanahair, semoga arwah tenang di situ,” katanya.
Ab Malek menghembus nafas terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di Taman Melana di sini pada jam 6.30 petang semalam.
Allahyarham sebelum ini pernah dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menjalani rawatan akibat strok hingga terpaksa berehat daripada dunia nyanyian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.