comscore
Tumpuan :
Nasional

Vivy, suami selesai beri keterangan hampir 5 jam

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Selepas hampir lima jam, pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sekitar pukul 1.58 petang tadi.

Pasangan itu dilihat keluar dari perkarangan bangunan SPRM bersama peguam mereka, Shaarvin Raaj Selva Kumar sebelum menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

Terdahulu, Vivy dan suaminya tiba di bangunan itu kira-kira jam 9.13 pagi bagi menyambung semula keterangan yang memasuki hari keempat.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Vivy dan Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan serbuan SPRM di empat lokasi iaitu pejabat FashionValet, selain Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB sebelum ini.

Siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan kes itu sejak 2018 sehingga 2023.

Setakat ini, pihaknya juga sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

Jelasnya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen berkenaan.

SPRM juga dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.

Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

SPRM juga membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini