KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima jam, pengasas FashionValet Sdn. Bhd., Datin Seri Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar masih belum selesai memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung kerugian besar pelaburan dalam syarikat itu membabitkan dana awam.
Menurut sumber dalaman, proses mengambil keterangan pasangan suami isteri itu masih berlangsung dan dijangka selesai pada jam 10 malam nanti.
Terdahulu, Vivy dan suaminya hadir bersama peguam di SPRM untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan sekitar jam 2.30 petang tadi.
Petugas media rata-ratanya masih lagi berkampung di pintu masuk bangunan SPRM bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Terdahulu, SPRM bertindak memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet.
Difahamkan siasatan itu dijalankan kerana jumlah kerugian yang direkodkan kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.
Antara fokus siasatan adalah berkaitan pengurusan kewangan dalam pelaburan itu serta unsur-unsur rasuah dalam perniagaan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.