Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Vivy, Fadzaruddin lepaskan jawatan dalam FashionValet


 

KUALA LUMPUR: Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun sosial media mereka malam ini, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam syarikat itu.

Mereka berkata, ia antara lain bagi mengelak isu itu terus menjejaskan syarikat yang kini dalam fasa pemulihan.

Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar. – FOTO: Ihsan Instagram Vivy Yusof

Vivy dan Fadzaruddin turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

“Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan dalam kepentingan terbaik organisasi masing-masing.

“Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain.

“Kami akan bertanggungjawab atas kegagalan pelaburan ini. Sebagai pihak yang mengurus syarikat, tanggungjawab ini terletak pada kami dan hakikatnya kami sudah mengecewakan pelabur,” kata kenyataan itu.

Semalam, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Sementara itu, Vivy dan Fadzaruddin mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.

“Kami kecewa dengan diri sendiri, selain menyesal keadaan menjadi seperti ini dan benar-benar memohon maaf.

“Ramai bertanya apa yang berlaku dan bagaimana kami boleh sampai ke tahap ini. Keadaan menjadi kritikal biarpun kami cuba mengurangkan kos termasuk menutup platform e-dagang.

“Banyak perkara yang kami harap dapat dilaksanakan secara berbeza, selain pelbagai faktor lain yang diharap dapat dipertimbangkan sebelum memulakan rancangan pengembangan kami.

“Kami secara peribadi terus menampilkan imej positif dan penuh harapan, berharap ia akan menanam keyakinan terhadap jenama dan produk kami,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini