PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung proses merekod keterangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, pagi ini.
Proses terbabit dijadual bermula jam 10 pagi.
Namun setakat jam 10.15 pagi ini, pasangan suami isteri itu belum kelihatan tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Menurut sumber, proses rakaman percakapan itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM mengambil keterangan pasangan itu di lokasi sama selepas mereka hadir pada jam 2.30 petang dan selesai pada jam 10 malam.
Ia susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Vivy dan Fadzaruddin antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, semalam.
Pegawai penyiasat SPRM turut menyerbu pejabat FashionValet yang dikaitkan, selain Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.