KUALA LUMPUR: Virus Human Metapneumovirus (HMPV) kini mencuri perhatian selepas peningkatan kes jangkitan pernafasan dilaporkan berlaku di China, terutama dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.
Menurut media antarabangsa, CNA, virus itu sering muncul pada musim sejuk, menyebabkan gejala seperti batuk, demam, dan sesak nafas, terutama dalam kalangan golongan rentan.
HMPV ialah virus pernafasan yang menyerupai selesema biasa, namun boleh menjadi serius jika menjangkiti kanak-kanak kecil, warga emas, atau individu dengan sistem imun yang lemah. Penyebaran berlaku melalui titisan udara, menjadikan langkah pencegahan amat penting bagi mengawal penularan.
7 gejala utama jangkitan HMPV yang perlu anda tahu:
Batuk Berpanjangan
Batuk kering atau berkahak yang berterusan adalah tanda awal jangkitan virus ini.
Demam
Suhu badan meningkat, biasanya diiringi rasa lemah dan lesu.
Sesak Nafas
Kesukaran bernafas, terutama pada kanak-kanak dan warga emas.
Hidung Tersumbat atau Berair
Gejala biasa yang menyerupai selesema.
Sakit Tekak
Rasa perit atau sakit ketika menelan.
Kelesuan
Badan terasa lemah tanpa tenaga, walaupun selepas berehat.
Nafas yang tidak normal
Bunyi nafas yang tidak normal, biasanya pada pesakit dengan jangkitan lebih serius.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, virus HMPV boleh menyebabkan jangkitan pernafasan yang menjejaskan individu di semua peringkat umur, khususnya kanak-kanak, warga emas, dan mereka dengan sistem imun yang lemah.
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengklasifikasikan HMPV sebagai kecemasan kesihatan global. Namun, beberapa negara di Asia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau jumlah kes.
Di Malaysia, Kemboja, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 327 kes HMPV pada 2024, iaitu kenaikan 45 peratus daripada 225 kes pada 2023.
Setakat ini, tiada vaksin khusus yang tersedia untuk menangani virus itu. Bagaimanapun, rawatan utama untuk jangkitan melibatkan pengurusan gejala seperti demam, batuk, dan sesak nafas.
Dalam kes yang lebih serius, pesakit mungkin memerlukan oksigen atau rawatan di hospital untuk membantu pernafasan mereka.
Bagi pencegahan, langkah utama adalah menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan. Elakkan sentuhan langsung dengan individu yang menunjukkan simptom jangkitan pernafasan, serta tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.
Selain itu, individu yang berisiko tinggi, seperti kanak-kanak kecil, warga emas, dan mereka yang mempunyai masalah imuniti, disarankan untuk lebih berhati-hati dalam mengelakkan kawasan sesak atau terdedah kepada jangkitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.