Tumpuan :
Nasional

Vincent Tan, Berjaya Land peroleh injuksi inter-parte terhadap Sanusi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor & Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun serta Berjaya Land Berhad, mendapat injunksi inter-parte (secara dua belah pihak) terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Injunksi yang dibenarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Choong Yeow Choy hari ini, menghalang Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Tan dan Berjaya Land.

Ia sehingga saman fitnah difailkan kedua-dua plaintif diputuskan mahkamah.

Injunksi berkenaan adalah berkaitan saman difailkan terhadap Sanusi berhubung kenyataannya mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) pada ceramah sempena kempen pilihan raya ‘Jelajah Mega PN Best’ atau ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour’ di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Perkara itu disahkan peguam, Mohd Faizi Che Abu, yang mewakili Sanusi dan Chuar Kia Ling bagi pihak Tan dan Berjaya Land, ketika dihubungi media.

Mohd Faizi berkata, mahkamah bagaimanapun, belum menetapkan tarikh perbicaraan kes saman berkenaan.

Pada 17 Ogos lalu, Tan dan Berjaya Land  dibenarkan oleh mahkamah sama untuk mendapatkan perintah injunksi ex-parte (secara sebelah pihak) yang turut merujuk kepada perintah sekatan sementara.

Tan dan Berjaya Land memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi pada 10 Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Tan berkata, Muhammad Sanusi yang dinamakan sebagai defendan membuat rujukan yang spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di ceramah itu.

Manakala, Berjaya Land berkata, walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Menurut Tan, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Justeru, plaintif menuntut  antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini