Tumpuan :
Nasional

Vincent Tan, Berjaya Land fail saman fitnah terhadap Sanusi 

PETALING JAYA: Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana didakwa membuat kenyataan fitnah berkait projek pembesaran sungai RM700 juta dikenali Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Dalam pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam, kedua-dua pihak mendakwa kenyataan disebut itu dibuat pada 2 Ogos telah merosakkan reputasi perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kenyataan fitnah dan palsu juga menjejaskan kepercayaan orang ramai, bukan sahaja kepada plaintif (Tan, Berjaya Land) malah kepada institusi dan badan kerajaan yang berkaitan dengan projek SMG, mewujudkan persekitaran merosakkan dengan kecurigaan,” katanya.

Tan turut mendakwa kenyataan Sanusi menimbulkan “kebimbangan tidak perlu” kepada diri dan keluarganya, yang perlu hidup dengan stigma tidak berasas terkait tuduhan dilemparkan.

Tan dan Berjaya Land juga berkata, mereka telah mengemukakan surat tuntutan kepada Sanusi awal minggu ini, menuntut permohonan maaf.

“Bagaimanapun, peguam defendan (Sanusi) enggan menuruti permintaan (untuk memohon maaf),” katanya.

Tan dan Berjaya Land menuntut ganti rugi am, pampasan, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan terhadap Sanusi.

Berjaya Land berkata, Sanusi pada ceramah Perikatan Nasional di Kedah menyampaikan kenyataan antaranya bermotif politik, berniat jahat, dan memperlekehkan terhadap firma tersebut dan Tan.

Mereka juga telah menuntut pemimpin PAS itu menarik balik semua kenyataan fitnah dalam ucapan merujuk kepada Tan dan Berjaya Land dan mengambil langkah tidak akan mengulangi ucapan seperti itu.

Mereka juga sudah membuat beberapa laporan polis terhadap Sanusi, penulis blog Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin alias “Chegubard”, dan Raja Petra Kamarudin berhubung penerbitan berita yang serupa iaitu kenyataan fitnah dan tidak benar berkaitan Projek SMG.

Loading...
Terkini