Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Video tular sekumpulan individu melakukan aktiviti mencurigakan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota, Setapak, terus menjadi bualan ramai sejak semalam.
Tinjauan Buletin TV3 di lokasi siang tadi mendapati suasana tenang, namun orang ramai yang menziarahi pusara keluarga mereka mengakui tidak pernah melihat kumpulan individu berkenaan seperti dalam video tersebut.
“Pertama kali makcik tengok,” kata Nora Aziz
Menurut Nora Aziz, 59, yang kerap menziarahi pusara suaminya setiap hujung minggu, kehadiran kumpulan individu berjubah seperti yang dirakam adalah sesuatu yang luar biasa.
“Sabtu Ahad mesti datang, semalam (Sabtu) makcik sampai sini jam 11 pagi, kubur ini buka jam 8.30 pagi sampai jam 5 petang.
“Bila makcik tengok video tu, terkejutlah, ini pertama kali makcik tengok. Sebelum ini tak pernah,” katanya.
Nora menjelaskan bahawa dia sentiasa berada di kawasan itu bersama ahli keluarga, namun tidak pernah menyaksikan kejadian seperti dalam video berkenaan.
“Seperti ada kenduri,” kata Izarihan Tugimin
Seorang lagi pengunjung, Izarihan Tugimin, 42, turut berkongsi pengalaman sama.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di tanah perkuburan tempat pusara kedua ibu bapanya.
“Pertama kali saya tengok video itu, terkejut. Macam ada kenduri di kawasan kubur. Saya memang tak pernah terserempak dengan mereka.
“Dalam video itu pun muka tak perasan. Itu misteri juga tu,” ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video menunjukkan sekumpulan individu dipercayai melakukan aktiviti zikir secara berjemaah tular di media sosial.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, yang rata-rata meluahkan kebimbangan sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.