Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Wujud penolakan dalam kalangan pengendali media sosial terhadap sekatan menerusi pelaksanaan Lesen Pengendali Media Sosial yang akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan hasil pendapatan media sosial seperti Facebook menerusi penjualan iklan di Malaysia pada tahun lalu sahaja mencecah RM2.5 bilion, termasuk iklan scam dan judi.
“Kita dapati platform seperti Facebook, dia buat duit dari iklan scam, iklan judi, benda ini tidak dibenarkan dalam negara.
“Jadi ada ‘pushback’, dia tak nak sebab dia merasakan akan ada kesan.” katanya ketika dalam Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang disiarkan di saluran Facebook dan YouTube Buletin TV3, hari ini.
Fahmi berkata, pihaknya telah berjumpa dengan pihak pengendali media sosial untuk menggesa menyekat iklan haram yang boleh mengundang kepada jenayah siber.
“Kami sudah berjumpa lebih 20 kali dengan semua platform. Kita bagi penegasan, tidak boleh, sekat, stop..tapi mereka tak nak buat dan mereka membenarkan mangsa-mangsa ini terus menjadi mangsa kepada iklan scam,” katanya.
Oleh itu, katanya, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) di Dewan Rakyat, selain pelaksanaan Lesen Pengendali Media Sosial mulai 1 Januari tahun depan, diyakini mampu mengurangkan isu berkenaan.
Fahmi turut mendedahkan rakyat di negara ini mengalami kerugian mencecah RM432 juta akibat pelbagai bentuk penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu.
Angka itu disifatkan membimbangkan, mencerminkan ancaman serius yang kini berleluasa di platform digital, termasuk media sosial seperti Facebook.
Bercakap di Podcast Edisi Khas Buletin TV3 itu, Fahmi berkata, penipuan dalam talian mensasarkan pelbagai golongan, terutama pesara dan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tahun 2023 sahaja, nilai kerugian kepada rakyat Malaysia itu RM432 juta. Besar, sangat besar.
“Jadi orang yang pencen, baru dapat KWSP, ramai yang terkesan sebab mereka ditipu dengan macam-macam benda yang berlaku dalam Facebook sebagai contoh, bukan hanya Facebook sahaja tetapi banyak platform lain,” ujarnya.
Selain penipuan melalui media sosial, jenayah siber lain seperti judi dalam talian dan buli siber turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah dalam talian.
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga menunjukkan peningkatan trend yang membimbangkan.
Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang disiarkan di saluran Facebook dan YouTube Buletin TV3, hari ini dikendalikan hos Halim Mohamed dan Mas Zharif Zhafri Aziz Desa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.