Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Ikhwan Zafran Azman
KUALA LUMPUR: Berbekalkan pengalaman sebagai pengangkat barang ataupun porter, Malim Gunung yang berasal dari Nepal – Pasang Tendi kini sudah menawan puncak paling tinggi di dunia – Gunung Everest sebanyak 17 kali.
Meskipun pelbagai rintangan telah dilaluinya dan bukan calang-calang orang mampu melakukannya, sikap rendah diri Tendi ternyata mencetuskan inspirasi serta harus dicontohi.
Tendi dilahirkan pada tahun 1983 di daerah Sankhuwasabha, Nepal, sebuah kawasan terpencil di negara itu.
Katanya, selepas mengambil keputusan untuk berhenti sekolah, dia memulakan kerjayanya sebagai seorang porter di Annapurna ketika berusia 13 tahun.
Ketika itu katanya, dia perlu mengangkat beban kira-kira 43 kilogram selama 12 hingga 15 jam untuk 26 hari.
Tendi berpeluang mendaki Gunung Everest ketika dia menyertai satu projek pembersihan di gunung berkenaan.
Namun, Mei 2004 menjadi saksi perubahan hidupnya.
Dia berjaya sampai ke puncak Everest buat pertama kalinya ketika berusia 20 tahun.
Katanya, walaupun sehingga kini dia sudah menaiki puncak Everest sebanyak 17 kali, namun pelbagai cabaran masih ditempuhinya terutamanya perubahan iklim.
Malah, walaupun gunung Everest bagaikan ‘makanan’ buat dirinya, tetapi dia masih berhati-hati setiap kali mendaki kerana pernah berdepan situasi cemas yang hampir meragut nyawanya.
“Saya pernah terjatuh daripada cerun sedalam 250 meter. Tetapi bernasib baik apabila badan tersekat di permukaan yang dalam.
“Selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati dalam semua aspek keselamatan,” katanya.
Menyertai misi menyelamat pendaki yang terkandas di gunung itu pula antara pengalaman berharga buat dirinya.
“Saya terlibat dalam misi 2014 ketika gelongsoran besar berlaku di Everest meragut 16 malim gunung. Saya membantu membawa turun mayat di sana dan menyelamatkan mangsa cedera serta bawa mereka ke hospital. Ia mengambil masa berhari-hari,” ujarnya.
Ketika gunung Everest tidak boleh didaki, Tendi kembali ke kampung untuk berkhidmat kepada komuniti tempatan termasuk memberi tunjuk ajar dan tip kepada sesiapa yang berminat dalam aktiviti mendaki.
“Ketika offseason, saya luangkan masa dengan komuniti setempat saya selain cuba untuk bantu mereka dalam aspek infrastruktur dan pendidikan. Saya juga luangkan masa bersama mereka terutama yang berusia muda untuk berkongsi ilmu, dan pengalaman saya mengenai gunung.
“Sekarang di kampung saya, kebanyakan mereka sudah ikut jejak langkah saya. Saya harap lebih ramai yang boleh jadi macam saya,” katanya.
Dia yang kini merupakan jurupandu gunung menasihati agar sesiapa yang ingin ke puncak Everest, perlulah mempunyai latihan yang cukup.
Jelasnya, syarikatnya telah menolak 27 pelanggan yang ingin mendaki Gunung Everest selepas membuat penilaian berkaitan latihan dan pengalaman mereka.
“Saya akui, menolak permohonan 27 pelanggan adalah kerugian besar bagi syarikat kami, tetapi keselamatan lebih diutamakan.
“Bagi mereka, sudah tentu mereka berfikir, jika mereka mempunyai wang, mereka boleh sampai ke puncak.
“Tapi, itu tidak benar kerana mendaki Gunung Everest adalah komitmen besar. Ia adalah cabaran besar dan berisiko tinggi, jika anda tidak bersedia dengan baik.
“Jadi, sangat penting bagi setiap pendaki yang ingin datang dan mendaki Gunung Everest bersedia dari segi mental, fizikal dan mereka harus mempunyai pengetahuan yang baik tentang aktiviti mendaki gunung.
“Di Malaysia hari ini, saya diberitahu terdapat banyak aktiviti mendaki dinding dan gimnasium dalam bangunan.
“Jadi, jika anda ingin mendaki gunung pada masa hadapan, anda harus mula mendaki di lokasi ini untuk mengenali peralatan mendaki, teknik dan anda berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Tendi kini sudah menawan kira-kira 20 gunung di Himalaya dengan ketinggian kira-kira 6,000 meter.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.