Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Vape, pod macam mainan kanak-kanak!

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: “Macam mainan budak-budak!”

Itu boleh disimpulkan apabila terdapat sesetengah pengeluar Vape yang tidak bertanggungjawab mereka-bentuk peranti mudah alih itu yang mampu menarik perhatian kanak-kanak untuk menghisapnya secara tidak sengaja!

Malah lebih menggusarkan, hasil tinjauan mendapati, golongan dewasa langsung tidak menyangka bahawa ianya sebuah peranti untuk menghisap bahan berkenaan!

Hasil tinjauan Buletin TV9 mendapati, kebanyakan tauke kedai memaklumkan, peranti itu dikatakan ’laku keras’ sehingga kehabisan stok.

Bukan setakat itu sahaja, cubaan Buletin TV9 untuk membeli barang itu menemui jalan sukar, selepas kami hanya memperoleh barangan itu selepas cuba membelinya di lebih lima premis berbeza.

Sementara itu, peniaga di premis vape itu memaklumkan stok bagi pod berkenaan mulai masuk ke pasaran tempatan sejak bulan lalu.

“Sekarang memang susah dapat bang (wartawan), tinggal satu itu sahaja dalam almari belakang abang itu’ kata peniaga yang kami temui.

“Stok sudah tidak banyak. Lagi-lagi tengah Hari Raya Cina sekarang. Kalau nak beli kena beli sekarang, barang ni dah viral,” kata peniaga berkenaan.

Selepas berjaya membelinya, memang dapat dilihat yang peranti tersebut mempunyai bentuk dan rekaan seperti permainan kanak-kanak.

Bukan setakat itu sahaja, dengan warnanya yang terang dan menyerlah, pasti mampu memikat hati sesiapa sahaja yang melihatnya, terutama orang muda dan kanak-kanak.

Orang ramai yang ditemui juga turut terkejut apabila mengetahui fungsi sebenar ’barang panas’ itu.

Bagi Ashiaswat Abdul Azizan yang merupakan seorang bapa, rekaan tersebut mampu membuatkan kanak-kanak ingin membelinya.

“Tak bagus. Design dia sangat tak bagus. Sebab apa, nampak macam mainan. Jadi, budak-budak akan suka dengan benda macam ini.

“Mereka akan ingatkan permainan dan ini boleh memberikan pendedahan awal untuk kanak-kanak kepada vape atau pod macam ini.

“Saya tengok sendiri pun takut! Kalau boleh saya tak mahu anak saya tahu pun benda ini’ katanya.

Malah, lebih dibimbangi sekiranya kanak-kanak sudah pun cuba menghisapnya tanpa disedari oleh ibu bapa.

“Kalau rekaan dia begitu, ia akan menarik minat kanak-kanak untuk mencuba dengan cepat. Dan satu lagi, orang-orang tua mungkin tidak tahu yang benda itu sebenarnya vape, dia akan ingat itu mainan kanak-kanak.

“Jadi budak-budak ini, dia akan berani bawak pergi sekolah, ke taman permainan, dan bila jumpa kawan-kawan. Nanti bila kawan-kawan tengok, mereka pula akan terikut.” kata Azmi Daud.

“Benda-benda untuk orang dewasa ini, kita hadkan untuk yang dewasa sahaja. Janganlah masuk ke minda anak-anak dengan benda dan perkara macam ini” kata Iqbal Hakim Nasaruddin.

Bagi ibu bapa khususnya, mereka mendesak pihak berkuasa melakukan tindakan penguatkuasaan sebelum luka jadi barah.

“Pengeluaran benda ini sepatutnya dihentikan serta merta dan sepatutnya tak dikeluarkan langsung sebenarnya,” kata Shahrul Amin Shahruddin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan 15.6 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun di negara ini menggunakan produk tembakau.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dapatan itu diperoleh hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2019.

“Daripada peratusan itu, 11.6 peratus golongan itu adalah perokok aktif dan 7.5 peratus menggunakan rokok elektronik (vape),” katanya.

Loading...
Terkini