comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ugutan terhadap PM sahih, tidak boleh dipandang remeh – KPN

KUALA LUMPUR: Ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sahih dan tidak boleh dipandang remeh atau dilabel sebagai muslihat untuk kepentingan peribadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, isu keselamatan Datuk Seri Anwar diangkat sendiri oleh beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta pengarah-pengarah jabatan di bawahnya.

Ancaman itu katanya, berpunca daripada kenyataan tegas dan lantang Perdana Menteri berhubung kekejaman Israel dan pemindahan paksa penduduk Palestin dari Gaza.

Tan Sri Razarudin tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri sendiri mempunyai maklumat lebih lengkap mengenai ancaman sedemikian, namun ia tidak didedahkan bagi mengelak menyinggung perasaan negara yang berkongsi maklumat sensitif.

“Ugutan ini mungkin saya berpendapat dan kita akan tanya sahkan dengan maklumat pihak SB dan counter part di luar negara.

“Dalam keadaan politik sekarang, dalam keadaan negara sekarang, apa-apa maklumat tentang espionage ke dan keselamatan PM, tentang ekonomi ke, mungkin kita akan bercakap dengan cara tatap muka, pun kita tak akan guna telefon untuk jaga kerahsiaan.

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam wawancara khas dengan TV3 semalam.

Datuk Seri Anwar dalam ucapannya di perhimpunan “Malaysia Berdiri Bersama Palestin” baru-baru ini di Arena Axiata di Bukit Jalil berkata, Malaysia menerima kritikan daripada negara pro-Israel, khususnya Amerika Syarikat, atas sokongan terhadap rakyat Palestin.

Beliau kemudian menjelaskan ancaman itu datang daripada beberapa ahli parlimen Eropah.

“Tetapi kepada pihak polis, sabotaj ke arah ekonomi ni, kita pun memang mendapatkan maklumat sebab kita pihak SB ada cawangan dia yang melihat sabotaj kepada ekonomi, tetapi yang lebih mustahak kepada saya ialah dari segi keselamatan nyawa Perdana Menteri Malaysia. Orang yang pertama akan malu adalah saya”

Tan Sri Razarudin turut akur kemungkinan ejen perisikan asing atau elemen tempatan yang bersubahat dengan mereka berada di negara ini turut menjadi risiko kepada keselamatan Perdana Menteri.

Beliau memetik dua kes pembunuhan warga Palestin di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Mossad, termasuk Fadi Mohamed Al-Batsh, 35 tahun, seorang profesor Palestin dan anggota Hamas, yang ditembak mati pada 2018.

Menurut Tan Sri Razarudin, Datuk Seri Anwar dinasihat untuk mengehadkan kemunculannya di khalayak ramai, manakala bilangan pengawal peribadinya ditambah, terutama ketika berada di lapangan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini