comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tuntutan Palsu: 2 individu bergelar Datuk direman

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Dua individu bergelar ‘Datuk’ ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit tuntutan palsu membabitkan 19 projek perumahan di Temerloh, Pahang bernilai lebih RM4 juta.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 13 Oktober ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an masing-masing berkhidmat sebagai pengarah di syarikat pemaju dan seorang lagi kontraktor di Selangor ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 7 petang semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang sebelum ini berkhidmat di dua syarikat berbeza telah membuat tuntutan palsu membabitkan pembinaan 19 unit rumah berkembar Projek Perumahan di Taman Delima Saujana Fasa 2 Temerloh Pahang sekitar tahun 2021 hingga 2023.

“Suspek pertama yang berkhidmat di syarikat pemaju ini telah bersekongkol dengan suspek kedua yang bertindak menyediakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan membabitkan pembinaan rumah kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)”

“LPPSA kemudian telah membuat pembayaran kepada suspek pertama sedangkan pembinaan rumah berkenaan sebenarnya tidak pernah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini