KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil individu dikenali ‘Mr H’ untuk dirakam keterangan susulan pendedahan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.
Dalam pada itu, Razarudin menggesa pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani segera tampil membantu siasatan.
“Setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Abdul Wahab berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya.
“Ada beberapa individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.
“Kita (polis) juga jalankan siasatan berhubung perkara itu,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memaklumkan sudah mendedahkan identiti Mr H kepada pihak polis.
Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan lucah miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
“Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan. Saya juga sudah mendedahkan siapa Mr H untuk siasatan pihak polis,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Peguam dedah Wahab belum beri keterangan kerana faktor keselamatan
- Video tular dikaitkan Dr Agus disiasat polis
- Video saya berbual dengan Wahab disunting – Agus
- ‘Saya bukan Mr H’ – Hakim
- Video Agus-Wahab: Polis siasat identiti ‘Mr H’
- Agus, Wahab akan dipanggil semula beri keterangan
- Agus akan dirakam keterangan di Bukit Aman esok – KPN
- Agus dirakam keterangan petang ini – KPN
- Mohammad Agus dedah identiti Mr H