Oleh: Safwan Sawi
SANDAKAN: Tiada sebarang kegiatan penggambaran filem lucah berlaku di daerah Sandakan seperti yang didakwa menerusi sebuah video tular baru-baru ini.
Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata video tular itu memaparkan aksi pengambaran filem lucah di sebuah lokasi tidak dikenal pasti.
“Lokasi video itu di kawasan tepi pantai yang berlatar belakangkan sebuah batu besar di atas permukaan air laut.
“Polis menyiasat perkara ini dan mendapati tiada sebarang kegiatan pengambaran video lucah yang berlaku di Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, ACP Abdul Fuad menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan rakaman berkenaan serta tidak menyimpan sebarang video lucah.
“Ini kerana ia menyalahi undang-undang di negara ini dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang lokasi kejadian ini boleh menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi dua minit 47 saat di aplikasi WhatsApp memaparkan kru membuat penggambaran aksi lucah di sebuah kawasan pantai yang berlatarkan batu di belakangnya yang hampir menyerupai Batu Sapi di Sandakan.