Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan tiga individu yang tidak memakai vest atau seragam ketika melakukan operasi seperti yang tular dalam video baru-baru ini adalah pegawai penguat kuasanya.
Menerusi satu kenyataan, JPJ menegaskan, pegawai penguat kuasanya dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.
Walau bagaimanapun, pegawai penguat kuasa perlu mengemukakan pengenalan diri atau kad kuasa yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah sekiranya diminta berbuat demikian.
Ia selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“JPJ melaksanakan operasi khas sempena Aidilfitri bermula 1 hingga 20 April lalu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama penumpang bas ekspres.
Sehubungan itu jabatan menggunakan pelbagai kaedah termasuk pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas, pemantauan di lokasi yang sering berlaku kemalangan, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat orang ramai melalui sistem e-aduan dalam aplikasi MyJPJ.
JPJ juga mengambil maklum akan penyebaran video tular itu dan telah membuat laporan polis.
Justeru, semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu serta memberi ruang kepada polis melakukan siasatan penuh.
Jabatan ini juga sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap terbaik di samping menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
Terdahulu, dua rakaman video berdurasi seminit 47 saat dan 38 saat tular di media sosial.
Ia memperlihatkan reaksi pemandu bas yang tidak berpuas hati dengan tindakan tiga individu terhadapnya.
Kejadian berlaku 16 April lalu kira-kira pukul 12.10 tengah hari, di Lebuhraya PLUS menghala ke arah utara Nilai.
Turut tular salinan laporan polis oleh pemandu bas ekspres terbabit.
Pemandu bas berusia 51 tahun itu dalam aduannya mendakwa diarahkan memberhentikan basnya di tepi jalan oleh tiga individu yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner hitam.
Setelah berhenti, salah seorang individu memperkenalkan diri sebagai anggota JPJ dan menunjukkan lambang integriti JPJ selain memaklumkan mahu melakukan pemeriksaan.
Seorang daripada individu terbabit turut memaklumkan mereka sedang melakukan penyamaran dan ia menimbulkan rasa was-was pemandu bas terbabit yang meragui kesahihan status mereka.
Pemandu bas itu turut mempertikaikan tindakan ketiga-tiga mereka yang melakukan pemeriksaan tanpa memakai sekurang-kurangnya vest rasmi JPJ selain tidak menunjukkan kad kuasa masing-masing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.