Tumpuan :
Nasional

Video tular harimau baham lembu bukan di Felda Ulu Tebrau

JOHOR BAHRU: Video tular yang memaparkan imej harimau membaham lembu di sebuah kebun disahkan bukan berlaku di Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram di sini sebaliknya di Indonesia.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, perkongsian video seumpama itu boleh mengelirukan ramai.

Beliau berkata, video berkenaan juga seharusnya dipadam kerana ia tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau.

“Perhilitan masih menjalankan siasatan dan kami sedar ada gambar dan video yang tular mendakwa ia berlaku di Felda Ulu Tebrau.

“Kami masih menyiasat kesahihannya, manakala video yang menunjukkan harimau makan lembu berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia.

“Video berkenaan perlu dipadam segera untuk elak kekeliruan orang awam,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 17 saat menunjukkan kejadian di sebuah kebun yang dinyatakan berlaku di Felda Ulu Tebrau.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata bukan saja video berkenaan, terdapat juga individu yangmenyebar imej palsu.

“Mereka berkongsi maklumat palsu hingga ia meningkatkan kegusaran ramai.

“Apa pun kami masih menunggu laporan dam maklumat dari Perhilitan yang memantau dan memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Felda Ulu Tebrau digemparkan dengan dakwaan kemunculan seekor haiwan buas selepas tapak kaki haiwan berkenaan ditemukan.

Selain itu, beberapa bangkai binatang ternakan turut ditemukan dalam kawasan semak di kebun sawit penduduk.

Loading...
Terkini