SHAH ALAM: Polis menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa babit dua individu termasuk seorang yang mirip Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.
“Ya. Ada (terima laporan berhubung kes terbabit). Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 3.03 minit yang tular sejak Khamis menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Pada satu sidang media yang diadakan malam tadi, Mohammad Agus mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Dakwanya, tindakan dipercayai sengaja dilakukan dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.
Beliau sebelum ini meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).