Tumpuan :
Nasional

Video tular cubaan culik wanita di pasar raya, polis belum terima sebarang laporan

JOHOR BAHRU: Polis menyiasat dakwaan cubaan culik seorang wanita di KSL City Mall, di sini, yang tular dalam media sosial, walaupun setakat ini tiada laporan rasmi diterima berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sudah menerima rakaman video berkaitan kejadian itu jam 2 petang hari ini dan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu terbabit serta punca sebenar insiden itu.

“Semakan Polis Daerah JBS mengesahkan tiada sebarang laporan berkaitan kes yang tular itu diterima setakat ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Mereka yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi talian hotline IPD JBS di 07-2182323,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita mendakwa seorang lelaki dan seorang wanita menghampirinya untuk mempromosikan produk mereka.

Wanita dalam video berkenaan mendakwa dia tidak mahu membeli produk berkenaan, namun kedua-dua suspek terus memujuk dan mengikutinya sebelum dia bersetuju untuk mencubanya.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa dia pening selepas terhidu produk itu dan hampir dibawa pergi oleh mereka, sebelum membuat laporan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini